Senin, 03 November 2008

Uraian Gurun Sahara

Gurun adalah salah satu daripada jenis persekitaran yang paling teruk di dunia. Gurun Sahara merupakan gurun yang terbesar di dunia. Luas kawasannya adalah sebesar negara Amerika Syarikat yang terbentang lebih kurang 5000 kilometer merentasi Afrika dan Lautan Atlantik di barat ke Laut Merah di timur. Gurun Sahara cukup luas dan terdapat 11 negeri yang berada sebahagian atau sepenuhnya di dalam kawasannya. Namun begitu, hanya terdapat sedikit sahaja hidupan yang boleh dijumpai di Gurun Sahara tersebut.
Sebaliknya, banyak kehidupan boleh ditemui di jaluran sepanjang pinggir selatan Sahara. Kawasan ini dikenali sebagai Sahel. Tidak ada sempadan yang memisahkan Sahel dan Sahara — dua kawasan yang bersepadu antara satu sama lain. Ke arah selatan Sahara terdapat lebih banyak pohon renek. Sekelompok pondok kecil yang membentuk kampung-kampung akan lebih kerap kelihatan.
Anda mungkin bertembung dengan sekumpulan kambing gurun sedang meragut tumbuhan berduri dan penduduk kampung sedang mengutip kayu api atau menjaga tanaman mereka. Kawasan ini adalah separa-gersang dan sedikit hujan yang diterima setiap tahun adalah sekadar cukup untuk menampung tumbuhtumbuhan, haiwan dan manusia. Terdapat juga kehidupan di utara Sahara. Jaluran tanah sempit di sepanjang pantai Mediterranean mempunyai penduduk yang ramai dan sibuk dengan pelabuhan-pelabuhan dan bandar-bandar.
Manusia sering membayangkan Sahara sebagai kawasan gumuk pasir keemasan yang luas terbentang. Pada hakikatnya, sebahagian luas gurun Sahara ini tidaklah sehebat mana dan diliputi oleh dataran-dataran kelikir tandus yang digelar reg. Terdapat juga gunung-ganang, ada yang memuncak setinggi 3500 meter. Kebanyakan batu-batan yang terdapat di reg adalah daripada kepingan lava lama yang mengalir keluar dari gunung berapi di kawasan tersebut. Gumut-gumut pasir terbentuk apabila angin menerbangkan pasir di keliling batu-batu besar. Angin yang kencang boleh mengalihkan pasir dengan mudah lantas mengubah bentuk landskap.
Lukisan-lukisan gua yang berusia 5000 tahun telah dijumpai di gurun ini. Lukisan ini menunjukkan manusia memburu binatang. Ini memberi kita sedikit maklumat tentang Gurun Sahara yang sebenarnya. Hari ini, keadaannya amat panas dan kering untuk binatang-binatang ini hidup. Suhu pada siang hari melebihi 450C, dan permukaan tanah sangat panas untuk disentuh. Gurun menjadi lebih panas apabila menghampiri garisan khatulistiwa di mana matahari memancar tepat pada atas kepala. Suhu tertinggi yang pernah direkodkan di gurun ini ialah di kawasan Azizia, di Libya, yang mencecah 580C. Namun begitu, apabila matahari tenggelam, kepanasan siang hari akan bertukar dengan cepat. Awan tidak mencukupi untuk memerangkap kepanasan siang hari dan ini menjadikan malam hari di gurun sangat sejuk. Keadaan paling sejuk adalah di antara bulan November dan Febuari, apabila angin Harmatan yang sejuk dan berdebu bertiup masuk dari timur-laut.

Manusia di gurun telah mempelajari bagaimana untuk hidup dengan suhu yang melampau. Mereka juga harus hidup dengan ketidakpastian bilakah hujan akan turun, atau tidak turun langsung. Hujan tidak turun dengan teratur selama 17 tahun di Kharga, Mesir. Hujan di kawasan ini tidak boleh diramal, namun 20 tahun kebelakangan ini, kemarau semakin kerap berlaku. Tidak seorang pun yang tahu punca kemerosotan kadar hujan ini. Ini mungkin permulaan bagi waktu kering, yang boleh menjangkau beratus tahun, sebagai sebahagian daripada kitaran semula jadi dalam iklim dunia, atau mungkin kesan perubahan iklim dunia akibat cara hidup manusia moden.
Dengan persekitaran yang sukar in adalah amat payah untuk mempercayai bahawa adanya kehidupan di Gurun Sahara. Tetapi manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan telah berjaya menyesuaikan cara hidup mereka untuk meneruskan kehidupan. Penyesuaian ini mungkin telah mengambil masa beribu-ribu tahun untuk berkembang atau berhasil.
Di gurun, air adalah amat berharga dan sukar untuk diperolehi. Hanya tumbuhan yang sesuai dan dapat bertahan dengan air yang sedikit sahaja yang mampu untuk hidup. Banyak tumbuh-tumbuhan seperti semak tamarisk, mempunyai lingkaran akar yang panjang untuk menggali jauh ke dalam pasir dan batu-batu bagi mendapatkan kelembapan. Tumbuhan lain pula mempunyai jaringan akar yang menjalar di bawah lapisan permukaan tanah. Akar ini akan menyerap air yang masuk ke dalam tanah apabila hujan turun. Tumbuh-tumbuhan selalunya mempunyai lapisan seperti lilin yang tebal pada kulitnya untuk mencegah kehilangan air.
Sebahagian tumbuhan seperti kaktus, mempunyai daun yang halus bagi mengurangkan kehilangan air berbanding daun yang lebar. Kebanyakan tumbuh-tumbuhan di gurun dapat menyesuaikan diri dengan tanah yang dengkel dan tidak subur. Sebahagiannya pula mampu hidup dalam tanah yang mengandungi paras garam yang tinggi yang selalu terdapat pada permukaan tanah gurun.
Benih tumbuh-tumbuhan juga perlu sesuai dengan persekitaran gurun. Kebanyakannya dorman di dalam tanah, dilindungi dari panas oleh cengkerang luarnya, sehingga hujan turun semula. Walaupun hujan turun dengan singkat, itu sudah mencukupi untuk benih bercambah. Selepas beberapa hari, gurun akan bertukar menjadi hamparan bunga yang berwarna-warni. Tumbuh-tumbuhan yang sedemikian akan melalui peredaran hidup yang lengkap selama enam hingga lapan minggu. Tumbuhan tersebut juga boleh menghasilkan benih bagi generasi seterusnya sebelum tanah kering atau tandus semula.
Binatang-binatang di Sahara bergantung kepada tumbuhan gurun untuk terus hidup. Hanya sebilangan kecil tumbuhan dapat hidup di gurun, oleh itu hanya terdapat sebilangan kecil sahaja haiwan jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan yang lebih lembap di dunia. Suhu yang terik pada waktu siang dan sejuk pada malam hari, menentukan tabiat haiwan-haiwan tersebut. Ketika siang yang terik, kebanyakan binatang bersembunyi di dalam korok bawah tanah yang lebih sejuk dan lembap. Kebanyakan binatang di Sahara mencari makanan pada malam hari. Walau bagaimanapun, binatang-binatang ini akan kembali untuk berlindung di dalam korok dari kesejukan sebelum subuh. Rubah Fennec meninggalkan koroknya untuk memburu kumbang dan rodensia sebaik sahaja matahari terbenam. Tubuh haiwan-haiwan ini mengandungi air yang diperlukan oleh rubah fennec. Oleh kerana persekitaran yang gelap, rubah fennec lebih bergantung pada pendengaran daripada penglihatan. Binatang ini memiliki telinga besar yang boleh menangkap bunyi pada waktu malam untuk membantunya menghendap musuh. Telinga ini juga membantu menyejukkan badannya pada siang hari apabila haba hilang dengan mudah melalui kawasan permukaannya yang luas.
Reptilia adalah binatang berdarah sejuk yang memerlukan sedikit haba untuk aktif. Binatang ini keluar dari tempat perlindungan pada waktu siang untuk menikmati kepanasan matahari. Walaupun demikian, binatang ini masih memerlukan tempat perlindungan. Cicak gurun dan ular boleh mati dalam beberapa minit sahaja jika mereka keluar di atas pasir yang panas tanpa tempat teduh.
Selain daripada menyesuaikan diri dengan keadaan iklim, hidupan di gurun juga perlu mengadaptasi bekalan makanan yang sedia ada. Tumbuhan menghasilkan makanannva sendiri dengan menggunakan tenaga yang diserap dari matahani. Sebahagian binatang memakan turnbuh-tumbuhan untuk hidup. Herbivor ini kemudiannya menjadi makanan kepada binatang yang memakan daging, dan binatang ini pula mungkin dimakan oleh binatang karnivor yang lain. Dengan ini segala benda hidup saling berkaitan dalam rantai makanan. Jika salah satu daripada binatang atau tumbuhan ini pupus, bekalan makanan bagi hidupan yang lain akan terancam. Hanya satu perubahan boleh merosakkan atau menjejaskan kehidupan dalam rantai makanan.
Bukan sahaja rantai makanan dalam keseimbangan yang rumit untuk dikendalikan di gurun. Keseluruhan keadaan persekitaran semulajadi adalah rapuh. Walaupun persekitaran boleh bertindak balas terhadap perubahan tetapi ia mengambil yang terlalu lama sekali. Di Sahel, perubahan yang berlaku adalah kerana kekurangan hujan dan tindakan manusia yang begitu aktif terhadap alam sekeliling. Penduduk yang menggunakan tanah untuk berladang dan menternak binatang semakin ramai. Kayu-kayan digunakan sebagai bahan bakar dan pokok-pokok dimusnahkan lebih pantas dari ditanam semula. Akibat daripada perubahan tersebut alam sekitar yang menderita mempunyai tanah kurang subur dan tumbuh-tumbuhan yang semakin melenyap. Kawasan di Sahel akhirnya akan bertukar dan menjadi sebahagian dari Gurun Sahara

Tidak ada komentar: